Assalamualaikum...
Hari Jumaat. Penghulu segala hari. Dan hari Jumaat ini juga bermakna telah lebih seminggu arwah bapa saudara AJ telah kembali kepada Penciptanya. Setiap yang hidup pasti akan menemui detik kematiannya. Siapa yang dapat menyangka, arwah yang dilihat tiada sakit pada dirinya tiba-tiba meninggal dunia. Arwah memejamkan mata pada malam hari namun tiada lagi bangkit untuk menemui Subuhnya. Bukan mudah tapi alhamdulillah, kami redha dengan segala yang telah berlaku. Namun, dalam keluarga masih lagi berduka, muncul manusia yang langsung tak mengenal erti perikemanusiaan.
Politik. Ya. Arwah menyertai parti politik. So, apa salahnya? Kenapa adanya manusia yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang seakan langsung tidak memikirkan perasaan balu dan anak-anaknya? Menyatakan bahawa betapa sayangnya bila mana arwah mati dalam parti yang tidak dipersetujuinya, dan bukannya parti ketika awal pembabitan arwah. Manusia apakah anda? Menggunakan nama dan profil samaran. Kenapa tidak menggunakan profil sebenar? Apa takut dihentam mungkin. Pengecut. Selama berpuluh tahun AJ bernafas, belum sekalipun AJ mendengar parti biru atau hijau itu sebenarnya adalah anutan agama. Hidup atau mati kita, Islam, Hindu, Buddha, Kristian itu adalah agama. Bukan parti politik.
Manusia yang cuma hebat di alam maya, sekadar menjadi keyboard warrior adalah manusia yang kurangnya common sense dan kasih sayang. Marah? Langsung tak. Cuma terkilan dengan sifat manusia begini.
Ya. Mungkin bagi mereka, arwah tersilap langkah. Namun, bagi kami yang begitu mengenali arwah, arwah tiada cacat celanya. Arwah merupakan seorang suami yang bertanggungjawab, tak pernah mengabaikan peranannya sebagai suami kepada isterinya. Arwah juga merupakan seorang bapa yang penyayang, tak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak-anaknya. Tak pernah lupa tanggungjawab kepada adik-beradiknya. Tegas namun baik hatinya. Bagi kami, arwah cukup sempurna.
So, kenapa adanya manusia yang tak bertanggungjawab yang seakan seronok meluahkan perasan yang terbuku di hati tapi pada masa yang sama, mencarik perasaan keluarga arwah. Semoga kalian dibukakan hatinya oleh Allah agar menyedari ketelanjuran diri.
Ya Allah, ampunkanlah segala dosa arwah semasa hayatnya dan tempatkan dia dalam kalangan hamba-hambaMu yang beriman. Amin. Al-Fatihah.
Dalam kenangan, (1956 - 2014)
Fin.